Tubuh manusia pada asasnya disokong oleh sebaris struktur tulang belakang yang berperanan sebagai penyanggah berat badan. Tulang belakang manusia normal akan kelihatan lurus sekiranya dipandang dari belakang. Namun, terdapat juga keadaan di mana tulang belakang kelihatan membengkok atau melengkung sedikit ke kiri atau kanan badan seperti lengkungan S yang dikenali dalam istilah perubatan sebagai Scoliosis.


Scoliosis bukanlah sejenis penyakit tetapi satu kondisi perubatan di mana tulang belakang yang membengkok ke kiri atau ke kanan malahan ia boleh berputar pada paksi vertikalnya. Kebiasaanya kes Scliosis lebih banyak ditemui terjadi pada remaja perempuan dibandingkan remaja lelaki pada peringkat usia 10 tahun hingga 15 tahun. 


Tahap keparahan scoliosis, dibahagikan kepada 3 keadaan tulang belakang mengikut sudut kebengkokan tulang belakang (sudut Cobb):

  • scoliosis ringan          : di bawah 20 darjah mengikut Cobb,
  • scoliosis sederhana   : 20 hingga 50 darjah mengikut Cobb,
  • scoliosis teruk            : lebih daripada 50 darjah menurut Cobb.

 


Tanda-tanda Scoliosis

Tanda-tanda umum yang boleh dilihat dengan mata kasar adalah kedudukan tulang bahu yang berbeza atau tulang belikat yang menonjol. Selain itu dapat dilihat juga keadaan lengkungan tulang belakang yang nyata atau tulang pinggul  yang senget. Tanda-tanda berikut juga boleh diamati terjadi kepada pengidap Scoliosis:

  1. Jarak antara tangan dengan batang badan tidak sama
  2. Kedudukan kepala tidak berada di tengah-tengah badan.
  3. Bahu tinggi sebelah
  4. Badan sebelah belakang kelihatan sedikit berbonggol
  5. Tulang belakang yang membengkok nampak dengan jelas.
  6. Pinggang tinggi sebelah
  7. Postur badan yang nampak tidak normal

Punca Scoliosis

Kebanyakan kes scoliosis tidak diketahui punca penyebabnya, namun boleh terjadi disebabkan oleh keadaan-keadaan berikut:

  1. Jangkitan kuman atau virus - Otot rangka yang menjadi lemah untuk mengendalikan gerak tubuh, kebiasaan yang terjadi kepada pesakit polio (kelumpuhan yang disebabkan oleh virus)
  2. Kelainan genetik atau terjadinya gangguan organ semasa janin di dalam rahim.
  3. Kekurangan mineral kalsium, seperti masalah osteopororis atau pereputan tulang.
  4. Kesalahan postur badan ketika duduk pada remaja berusia diantara 10 tahun hingga 15 tahun secara terus-menerus
  5. Kaedah mengangkat beg sekolah yang berat dengan sebelah bahu juga boleh mendatangkan risiko scoliosis.

Rawatan Scoliosis

Menjalani program rawatan dan pemulihan fisioterapi:

Pesakit dengan sudut kebengkokkan tulang belakang (Cobb angle) di bawah 30 darjah sesuai menjalani program rawatan dan pemulihan fisioterapi. Antara rawatan yang akan diberikan termasuklah rawatan teknik manual yang berfungsi untuk melembutkan otot-otot yang tegang dan juga mengurangkan ketat pada sendi tulang belakang. Senaman juga akan diajar bagi tujuan meregangkan dan menguatkan semula otot yang terlibat.

Pemakaian brace: 

Pesakit dengan sudut kebengkokan tulang belakang (Cobb angle) 30-40 darjah, dan pesakit masih dalam peringkat usia remaja sesuai memakai ortosis bagi mengelakkan tulang belakang semakin membengkok.

Pembedahan: 

Pembedahan kebiasaannya akan dilakukan apabila sudut kebengkokkan tulang belakang melebihi 40 darjah.